ad

Sunday, January 2, 2011


Lot.my beri peluang kepada usahawan muda


(Seperti yang di lihat di dalam The Star (Mingguan mStar)

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my

Kecanggihan dan kepentingan internet kepada manusia hari ini tidak dapat disangkal. Keupayaannya membolehkan masyarakat berhubung dan mendapatkan maklumat tanpa sempadan telah menjadikan internet sebagai rakan baik manusia.

Tidak lengkap kehidupan seharian sekiranya tidak dapat melayari internet kerana banyak urusan daat diselesaikan dengan hanya satu klik serta menjimatkan masa pengguna.

Malah, internet juga digunakan secara meluas sebagai medan perniagaan terutamanya di kalangan belia yang ingin mencari pendapatan tambahan. Barangan seperti pakaian, kasut, aksesori, produk makanan kesihatan dan sebagainya kini boleh dibeli dengan mudah.

Atas dasar itu, enam anak muda memasang hasrat untuk mengubah paradigma masyarakat terhadap perniagaan melalui internet yang sering kali dikaitkan sebagai bidang berisiko tinggi.

Bertitik tolak dari keazaman itu, mereka telah menubuhkan sebuah portal e-dagang bagi memberi peluang kepada semua peniaga yang berhasrat membuka perniagaan secara atas talian supaya mereka boleh mengembangkan perniagaan mereka.

Menurut pengarah Aidan Corporation Sdn. Bhd, Khairul Anwar Mohamad Zaki, portal yang diberi nama Lot.my itu dibangunkan berasaskan ingin membantu peniaga baru menceburi bidang perniagaan dan tidak menjadikan ketiadaan sumber kewangan sebagai alasan untuk tidak memulakan perniagaan.

“Portal yang kami sediakan adalah percuma dan sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan tanpa sebarang bayaran,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Menurut Khairul Anwar, antara tujuan lain portal itu diwujudkan adalah untuk mendidik masyarakat supaya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dan berusaha atas kaki sendiri.

“Itu impian kami untuk melihat lebih banyak ushawan muda menceburi bidang perniagaan dalam talian dan tidak terlalu bergantung harap kepada bantuan kerajaan,” ujarnya.

Lot.my semudah empat langah

Dalam pada itu, Khairul Anwar memberitahu, untuk memulakan perniagaan di Lot.my, usahawan hanya perlu melayari laman web www.lot.my dan seterusnya mendaftar nama kedai mengikut citarasa usahawan.

“Sebagai contoh anda ingin menjual kasut, terus daftarkan nama kasut dan secara automatiknya pengguna akan terus mendapat pautan www.kasut.lot.my.”

“Seterus, pengguna boleh memilih reka bentuk kedai yang digemari, memuat naik produk yang ingin dijual, dan seterusnya boleh memulakan perniagaan,” ujar graduan daripada Purdue University di Indiana, Amerika Syarikat.

Tambahnya lagi, Lot.my juga turut menyediakan pelbagai tema kepada usahawan untuk memudahkan mereka menukar paparan kedai mereka dengan mudah. Malah setiap modul juga boleh disusun dan dipaparkan mengikut citarasa pemilik kedai.

Sementara itu, Khairul Anwar memberitahu, Lot.my dibangunkan dengan perisian yang mudah digunakan sekalipun oleh pengguna yang kurang berkemahiran.

Katanya lagi, pelanggan yang melayari laman web itu juga tidak akan keliru kerana semua ‘kedai’ yang terdapat di dalam Lot.my disusn mengikut kategori barangan yang dijual.

“Setakat ini kami telah mempunyai hampir 10,000 kedai secara maya yang berdaftar di bawah Lot.my dan lebih mengejutkan penubuhan Lot.my sebelum ini tidak mendapat sebarang publisiti tetapi hanya mulut ke mulut sahaja dan tidak sangka ia mendapat sambutan luar biasa,” katanya mengakhiri perbualan.

0 comments:

Post a Comment